Monday, June 6, 2011

Jawi Peranakan: Kuasai bidang perniagaan


Perjumpaan masyarakat Jawi Peranakan bagi meraikan doktor Jawi Peranakan yang pertama, Dr Ahmad Osman Merican (tengah, barisan hadapan)

Masyarakat ini juga dikenali Jawi Pekan, iaitu Melayu yang hidup di pekan

Sebut sahaja Tanjung@Penang@Pulau Pinang, tidak dapat tidak ia akan dikaitkan dengan anak mami, mamak dan nasi kandar. Begitu kuat kaitannya sehinggakan sering kali filem tempatan pasti menggunakan tiga elemen itu dalam apa saja filem yang menceritakan masyarakat di pulau mutiara itu seperti Anak Mami The Movie dan Mami Jarum.

Namun, tidak ramai tahu sebenarnya anak mami bukan hanya berkaitan mamak dan nasi kandar tetapi juga membabitkan satu lagi masyarakat besar di Pulau Pinang iaitu Jawi Peranakan, satu masyarakat yang terhasil daripada perkahwinan campur antara wanita Melayu dengan lelaki dari India, Arab, Benggali, Punjabi dan Acheh.
Sebelumnya, Jawi Peranakan dikenali dengan pelbagai gelaran iaitu Jawi Pekan, Jawi Pukan dan Jawi Bukan. Jawi membawa maksud Melayu dan istilah yang digunakan sebelum ini adalah untuk memberi gambaran masyarakat itu sebagai ‘Melayu bukan, Keling pun bukan’ (Keling merujuk kepada kaum India yang datang dari India Selatan).

Ramai juga yang tersilap atau salah faham apabila secara sembarangan mengkelaskan semua lelaki berwajah kacukan India sebagai mamak kerana realitinya wujud perbezaan antara masyarakat itu dengan Jawi Peranakan.

Kriteria mudah bagi membezakan mereka ialah anak yang lahir daripada perkahwinan campur lelaki India Muslim dengan wanita Melayu dikenali sebagai Jawi Peranakan, manakala jika perkahwinan itu hanya membabitkan India Muslim, barulah ia digelar mamak.

India Muslim menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar mereka tak kira di mana saja tetapi masyarakat Jawi Peranakan bukan saja berbahasa Melayu sepenuhnya bahkan ada antara mereka yang tidak tahu langsung bertutur bahasa Tamil. Namun ada sebilangan kecil masih memahami isi bahasa itu (itupun hanya generasi tua).
Meskipun kewujudan masyarakat Jawi Peranakan turut dikaitkan dengan perkahwinan campur antara Melayu dan lelaki Arab, Benggali, Punjabi dan Acheh, namun di Pulau Pinang, ia lebih sinonim dengan masyarakat India Muslim akibat penghijrahan rakyat dari India ke negeri selat itu sejak awal 1700.

Lantaran mewarisi aktiviti perniagaan yang dimulakan nenek moyang mereka ketika berhijrah ke Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kebanyakan masyarakat Jawi Peranakan terkenal dengan kekayaan dan hidup mewah sekali gus menjadi antara sebab mereka pernah dikenali sebagai Jawi Pekan, iaitu Melayu yang hidup di pekan.

Kemewahan mereka sering kali digambarkan dalam banyak filem, antaranya Mami Jarum apabila wanita Melayu dengan wajah anak mami memakai gelang emas sehingga mencecah ke siku dan suka menonjolkan kekayaan mereka, bukan sekadar omong kosong kerana ia memang satu realiti dalam masyarakat berkenaan.

Bukanlah semuanya kaya raya tetapi kekayaan adalah simbol masyarakat Jawi Peranakan. Lihat saja struktur kebanyakan rumah mereka yang besar dan mempunyai banyak bilik. Contoh paling mudah ialah sama seperti digambarkan dalam filem Madu Tiga lakonan Tan Sri P Ramlee ketika beliau keluar masuk dari pintu bilik ke bilik lain di rumah bapa mentuanya yang dilakonkan Ahmad Nisfu.

Memang susah untuk membezakan masyarakat ini dengan mamak atau India Muslim yang lain kerana jika dilihat dari aspek fizikal, tiada apa bezanya, hinggakan penulis terpaksa bertanya sendiri kepada kebanyakan orang yang ditemui - “Adakah anda Jawi Peranakan?”

Masalah tetap ada kerana ramai masyarakat Jawi Peranakan sendiri tidak pernah mendengar istilah itu kerana pada mereka adalah Melayu yang mempunyai darah campuran India atau Arab.

Maka, tidak hairan mengapa orang luar juga tidak biasa mendengar nama masyarakat itu kerana biasanya hanya mamak dan mami yang popular di mana saja sedangkan istilah itu sebenarnya sudah popular berabad lamanya sehinggakan akhbar bahasa Melayu pertama diterbitkan di negara ini juga diberi nama Jawi Peranakan iaitu pada penghujung 1870-an.

Jika diperhatikan secara terperinci, memang ada sedikit kelainan pada masyarakat Jawi Peranakan berikutan perkahwinan campur itu kerana wajah mereka lebih unik dan nampak ada kacukannya. Jika ada darah campuran Arab, hidungnya lebih mancung, kulit lebih cerah dan tak keterlaluan jika dikatakan lebih cantik.

Pertuturan bahasa Melayu utara mereka juga pekat. Lenggok bahasanya lemah lembut tetapi unik. Tidak sama seperti yang digambarkan dalam filem dan tidak sama dengan penduduk utara lainnya. Pendek kata, memang terhibur mendengar mereka berbicara.

Seperkara yang tidak dapat dinafikan ialah masyarakat ini ada ego yang tinggi terutama apabila bercakap mengenai taraf hidup kerana kebanyakan mereka memang kaya. Malah, tidak mengejutkan apabila dua tiga wanita yang ditemui dengan selamba berkata: “Tak ada RM10,000, jangan mimpi nak jadi menantu mami. Itu dulu, sekarang lagilah mahal.”

Kebanyakan masyarakat Jawi Peranakan berjaya sebagai peniaga. Ia adalah kegiatan turun temurun dan menjadi simbol ekonomi mereka. Di Pulau Pinang, kebanyakan kedai emas di kawasan Georgetown dimiliki masyarakat itu. Mereka juga dikatakan masyarakat yang paling berjaya di seluruh negara, bukan sekadar dalam bidang perniagaan, malah dalam bidang politik dan kerjaya lain.

Susah juga untuk mengkategorikan siapa antaranya masyarakat ini, namun berdasarkan kenyataan pengumpul barang antik di Pulau Pinang, Mohd Mustakim Mohd Mastam, 65, ramai tokoh politik berketurunan itu seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Semua mereka berdarah campuran. Ada berlaku perkahwinan campur dalam sejarah keluarga mereka dan mereka memang Jawi Peranakan. Ramai lagi sebenarnya berdarah Jawi Peranakan dan kebanyakan mereka adalah orang kenamaan dan berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya dengan sedikit nada bangga.

Sebenarnya, masyarakat Jawi Peranakan bukan sekadar ada di Pulau Pinang tetapi di semua negeri selat iaitu Melaka dan Singapura kerana sejarah kewujudan masyarakat itu juga adalah akibat kemasukan pedagang luar iaitu dari India dan Arab ke Tanah Melayu pada zaman pentadbiran Kapten Francis Light sejak 11 November 1786.

Perkahwinan campur antara dua masyarakat ini juga menyebabkan berlakunya pertembungan budaya, malah tidak boleh dinafikan budaya India lebih banyak mempengaruhi cara hidup Melayu terutama dalam adat perkahwinan dan alat muzik.
Pernah jadi pemilik tanah terbesar di Pulau Pinang

KEBANYAKAN masyarakat Jawi Peranakan tinggal di kawasan bandar seperti di Georgetown, Pulau Pinang dan ia menjadi antara sebab masyarakat itu pernah dikenali sebagai Jawi Pekan satu ketika dulu.

Meskipun mereka adalah masyarakat yang terbentuk daripada perkahwinan campur antara lelaki India Muslim dari India dengan wanita Melayu, kestabilan ekonomi yang diwarisi daripada nenek moyang membolehkan masyarakat itu menjadi antara pemilik tanah terbesar di pulau itu selepas orang Cina.

Malah, berdasarkan cerita beberapa penduduk di situ, satu ketika dulu, iaitu sebelum 1950-an, Jawi Peranakan adalah masyarakat terkaya dan pemilik tanah terbesar di Pulau Pinang sebelum kebanyakannya tergadai lantaran gelombang aktiviti perjudian yang mempengaruhi orang Melayu.

Akibat terlalu banyak berhutang dengan ceti, akhirnya kebanyakan tanah mereka tergadai dan kini menjadi milik orang Cina. Namun, ia tidak sama sekali menghakis ciri utama masyarakat Jawi Peranakan sebagai antara penduduk terkaya di Pulau Pinang.

Itu hanya sebahagian daripada sejarah dan rentetan kehidupan masyarakat itu yang kini lebih selesa dikenali sebagai Melayu lantaran mahukan hak Melayu yang membolehkan mereka mendapat keistimewaan dalam banyak perkara termasuk pendidikan.

Justeru, semakin ramai generasi muda tidak lagi mengetahui susur galur keluarga mereka, malah ramai juga yang tidak mengetahui yang mereka sebenarnya berketurunan Jawi Peranakan lantaran sudah berasimilasi dengan kehidupan orang Melayu.

Untuk mendekati masyarakat itu bukan lagi semudah dulu kerana ketika itu mereka hidup dalam kelompok mereka sendiri, namun kini semakin ramai yang berpindah ke lokasi lain dan ramai juga memilih untuk keluar bekerja di luar Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang sendiri, masyarakat itu ada di mana-mana dan dengan pelbagai cara hidup. Tidak lagi sekadar terus berniaga, ramai yang sudah menceburi bidang kerjaya lain. Bagaimana untuk mengenali mereka?

“Rupa mereka seperti orang India tetapi tidaklah seperti India sangat. Ada sedikit kemelayuan dan nampak lebih cantik daripada anak mami India Muslim.
Paling senang, mereka fasih dan sentiasa berbahasa Melayu.” Itu panduan diberikan seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Omar Yusoff.


Dipetik drp: Berita Harian 09/05/2010
Oleh: Azrul Affandi Sobry

0 comments:

Post a Comment